Site Info


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Isnin, 4 Mei 2009

SeJaRaH KeRaJaaN MaMLuK


Kemunculan kerajaan mamluk yang memerintah Mesir dan Syria telah berjaya membuka mata dunia dan membawa nafas baru dalam sejarah politik Islam berikutan kejayaan kerajaan ini dalam mengalahkan Mongol di cAyn Jalut pada 25 Ramadan 658H/ 3 September 1260M. Kemenangan ke atas Mongol telah menjadi modal besar untuk terus melebarkan sayap kekuasaan. Peranan yang dimainkan oleh kerajaan Mamluk telah mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah kerajaan Islam selepas kejatuhan Kota Baghdad. Selain kejayaan tersebut, kerajaan Mamluk merupakan kerajaan pertama di Timur Tengah yang diterajui dan dipimpin oleh golongan hamba yang telah terlatih dalam sistem ketenteraan dan sebahagian daripadanya mempunyai kebolehan dalam sistem pentadbiran Negara seperti Sultan al-Zahir Baybars al-Bunduqdari (658-675H/1260-1277M).

Khalifah al-Muctasim yang menggantikan Khalifah al-Ma’mun menerajui kerajaan Abbasiyyah merupakan individu yang pertama memperkenalkan dan bertanggungjawab membawa golongan Mamluk ke dalam sistem pentadbiran Negara menerusi sistem ketenteraan. Kewujudan pasukan tentera Mamluk dalam sistem pentadbiran Abbasiyyah telah membuka era baru dalam sejarah dan sistem ketenteraan Islam. Walau bagaimanapun, pencapaian dan kejayaan mereka di Baghdad sebelum ini tidak diperbesarkan dan tidak dperkatakan oleh para sejarawan kerana mungkin dipengaruhi faktor sekeliling oleh kawasan yang didiami Islam yang menyebabkan mereka kelihatan seolah-olah tidak mempunyai kepentingan yang perlu diketengahkan. Penggunaan tentera Mamluk pada mulanya tidak dianggap sebagai satu elemen penting dalam pasukan ketenteraan Negara sehinggalah kerajaan Ayyubiyyah menaikkan taraf penggunaan mereka dalam bidang ketenteraan dan sekaligus dalam pentadbiran Negara. (Khairiah Ab Rahaman. 2004. Hlmn: 2)

Pemerintahan Mamluk di Mesir mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana keseluruhan pemerintahannya terdiri daripada kalangan hamba yang dibeli. Pemerintahan Mamluk Bahri mula berkembang berikutan kejatuhan kerajaan Ayyubiyyah pada 647H/1249M. Pemerintahan pertama bagi dinasti Mamluk Mesir ialah Muiz al-Din Aybak (648-655H/1250-1257) daripada golongan Mamluk Bahri. Golongan Mamluk Bahri mula memerintah Mesir dari 648-784H/1250-1382M. Kegemilangan zaman Mamluk Bahri bermula apabila mereka berjaya mengalahkan Mongol serta menakluki Palestine dan Syria. Kejayaan tersebut telah memberikan satu peluang besar kepada mereka untuk mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan mereka. Perluasan kekuasaan Mamluk Bahri adalah luas meliputi sebahagian kawasan semenanjung Arab termasuk sebahagian kecil Anatolia dan Asia Kecil sehinggalah ke Nubia di sebelah Selatan Mesir. Kejayaan ini bukanlah berdasarkan kepada etnik dan bangsa Mamluk semata-mata tapi juga berasaskan kepada kebolehan dan kemampuan mereka. Di samping kejayaan dalam bidang ketenteraan, kerajaan Mamluk juga berjaya dalam melaksanakan pembangunan Negara dalam pelbagai aspek seperti politik, sosial, pendidikan dan ekonomi. Bagaimanapun, arus perubahan mula berlaku dalam sistem pentadbiran berikutan pengambilan golongan Mamluk yang baru iaitu Mamluk Burji. Hal ini menyebabkan pelbagai polemik baru berlaku dan akhirnya menyebabkan kejatuhan Mamluk Bahri telah diganti dengan Mamluk Burji bermula 784-922H/1382-1517M meneruskan kelangsungan pemerintahan Mamluk di Mesir.

**tesis 2009**

1 ulasan:

  1. oo.. ros pun kena buat sejarah mamluk ye.. bgs .. baru tau.. Nama muiz tu pemerintah 1st mamluk.. bgs2.

    BalasPadam