Site Info


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Khamis, 2 April 2009

Teori-teori Emosi

Pengenalan

Bagaimanakah kita hendak menjelaskan mengenai emosi yang sedang kita alami? Apakah yang menyebabkan kita sedih dalam suatu situasi atau keadaan tetapi sebaliknya merasa gembira dalam situasi atau keadaan yang lain. Apakah urutan peristiwa yang berlaku apabila kita mengalami sesuatu perasaan. Bagaimanakah kognisi mempunyai kaitan dengan pengalaman emosi yang subjektif? Apakah hubungan antara emosi dan tingkah laku? Beberapa teori mengenai emosi telah dirangka dalam usaha untuk menjawab persoalan yang dikemukakan tadi. Teori-teori emosi ini berbeza dari sudut penekanan yang diletakkan ke atas fisiologi, tingkah laku dan kognisi.

Teori-teori Emosi Menekankan Fisiologi

Walaupun ke semua teori emosi mengakui peranan yang dimainkan oleh faktor fisiologi dalam emosi tetapi terdapat beberapa teori yang memberikan penekanan yang lebih kepada faktor fisiologi ini. Di antara teori-teori yang menekankan perubahan fisiologi ini ialah: Teori James-Lange, Teori Cannon-Bard dan Teori Psikobiologi.
Teori James-Lange

Di akhir abad ke Sembilan belas “bapa psikologi” Amerika Syarikat iaitu William James (1884) mendakwa bahawa perubahan-perubahan fisiologi mendahului sesuatu pengalaman emosi. Tidak lama sesudah itu ahli fisiologi dari Denmark bernama Carl Lange (1887) menyokong dakwaan William James itu. Oleh itu teori ini dinamakan teori James-Lange. Hipotesis utama teori ini ialah reaksi-reaksi fisiologi terhadap rangsangan menyebabkan emosi. Menurut James (1890, ms. 449-450):
“Akal budi menyatakan, kita tidak bernasib baik, merasa menyesal dan menangis; kita terserempak dengan Beruang, merasa takut dan lari; kita diperlekehkan oleg pesaing, kita merasa marah dan melawan….. namun kenyataan yang lebih rasional ialah kita merasa menyesal kerana kita menangis, merasa marah kerana kita melawan, merasa takut kerana kita kelam kabut.”
Hipotesis utama teori ini sangat bertentangan dengan kepercayaan umum mengenai emosi. Sebagai contohnya menurut kepercayaan umum, kita rasa gembira oleh kerana itu kita ketawa iaitu emosi yang muncul dahulu diikuti dengan reaksi fisiologi tetapi teori ini menyatakan sebaliknya iaitu kita ketawa oleh kerana itu kita rasa gembira. Walaupun teori ini menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak tetapi ia memainkan peranan yang sangat penting dan telah mempengaruhi kajian dalam bidang emosi berabad lamanya. Sehingga ke hari ini perbincangan mengenai teori ini masih berlaku lagi.



Stimulasi:
Anjing menyalak

Emosi: Takut
Reaksi tubuh: Hati berdebar



Teori Cannon-Bard
Di antara individu yang banyak mengkritik teori James-Lange ialah ahli psikologi Amerika Syarikat bernama Walter Cannon (1927). Menurut Cannon, individu memiliki kebolehan yang terbatas untuk menyedari kebanyakan dari perubahan-perubahan fisiologi yang didorong oleh sympathetic Nervous System. Bagaimanakah perubahan-perubahan fisiologi ini menjadi asas kepada pengalaman emosi kita sedangkan kita sendiri tidak menyedari perubahan-perubahan tersebut? Seterusnya, Cannon juga meyedari bahawa dalam teori James-Lange pelbagai emosi dikaitkan dengan pola kebangkitan fisiologi yang sama. Bagaimanakah emosi manusia yang berbagai itu dibangkitkan oleh pola kebangkitan yang sama? Cannon juga mendapati bahawa perubahan fisiologi yang bergantung kepada rembesan atau pengeluaran hormon oleh kelenjar andranelin adalah terlalu lambat untuk menjadi asas kepada semua emosi. Bagaimanakah proses yang mengambil masa beberapa saat menjadi punca kepada pengalaman emosi yang berlaku serta merta?
Memandangkan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam teori James-Lange, Cannon bersama-sama rakan sekerjanya Phillip Bard telah memperkenalkan satu teori emosi baru sebagai alternatif. Teori baru ini dipanggil teori Cannon-Bard ( Cannon, 1929). Melalui teori ini mereka mencadangkan bahawa rangsangan-rangsangan dalaman atau luaran akan mendorong desakan-desakan sensori yang kemudiannya akan dihantar ke bahagian kortek otak. Kortek merupakan bahagian otak di mana kebanyakan pemprosesan maklumat berlaku. Korteks akan menghantar desakan-desakan sensori tadi ke bahagian thalamus. Dari thalamus, desakan-desakan sensori tadi akan dihantar secara selari ke bahagian tangkai otak (brain stem) yang akan menghasilkan tindak balas fisiologi dan kortek yang menghasilkan pengalaman emosi. Bagi Cannon dan Bard pengalaman emosi dan kebangkitan fisiologi berlaku serentak atau selari dan tidak bergantung antara satu sama lain.
Kajian yang dilakukan terhadap pesakit-pesakit yang cedera tulang belakang menyokong teori Cannon-Bard ini. Satu kajian menunjukkan bahawa para pesakit yang cedera tulang belakang tetap mengalami keadaan emosi yang mendalam walaupun mereka tidak mampu merasakan apa-apa di bahagian tubuh mereka (Chwalisz, Diener, & Gallagher, 1988). Dapatan kajian ini menyokong andaian teori Cannon-Bard bahawa pengalaman emosi bergantung kepada persepsi otak manusia terhadap peristiwa yang sedang berlaku.

Stimulasi:
Anjing menyalak
Aktiviti otak subkortikal

Emosi: Takut
Reaksi tubuh: Hati berdebar


Teori Psikobiologikal
Pada tahun 1982 Jack Panksepp telah membina satu teori emosi yang berasaskan kepada pendekatan psikobiologikal. Teori ini mengandaikan bahawa emosi asas manusia mempunyai kaitan dengan litar saraf di bahagian otak. Panksepp mendakwa bahawa manusia memiliki empat emosi asas iaitu takut, keberangan, panik, dan pengharapan. Setiap satu emosi asas tadi mempunyai kaitan dengan satu sistem arahan yang terdapat pada otak. Seterusnya keempat-empat sistem tadi akan berinteraksi untuk menghasilkan emosi-emosi yang lain. Panskepp turut juga mendakwa bahawa bahan-bahan kimia saraf (neurochemicals) mungkin mempunyai kaitan dengan pelbagai sistem arahan emosi. Sebagai contohnya, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa neurotransmitter dopamine mempunyai kaitan dengan sistem pengharapan emosi, sementara acetylcholine menjadi perantara tingkah laku dalam sistem keberangan.
Teori ini turut menjadi bahan kritikan pengkaji yang lain. Sebagai contohnya, ada yang mempertikaikan mengenai asas kepada lokasi khusus litar emosi. John Averill (1960) pula menyatakan bahawa litar saraf yang ‘berdawai keras’ (hard-wired) tidak cukup fleksibel untuk bertindak sebagai asas kepada emosi. Walau bagaimanapun teori ini telah berjaya meningkatkan minat para penyelidik terhadap peranan faktor neurologikal dalam membentuk emosi manusia. Ini seterusnya membawa kepada peningkatan aktiviti penyelidikan dalam bidang ini.


TEORI PAPEZ-MACLEAN

Pada tahun 1937, Papez mengeluarkan satu data sintesis mengenai kaitan sistem limbik kepada sifat emosi. Papez menyatakan bahawa terdapat satu kitaran yang sedia ada yang wujud dalam sistem limbik yang menunjukkan penghantaran impuls semasa ekspresi emosi. Kitaran ini dinamakan Kitaran Papez (Papez’s circuit).
Mula-mulanya, maklumat dari reseptor sensori ke bahagian penerimaan di bahagian bawah thalamus atau lebih tepat subthalamus. Dari subthalamus, maklumat itu terus dihantar ke hipothalamus dan kemudiannya ke mammillary body yang terletak di bahagian posterior hipothalamus. . Dari mammillary body, kitaran diteruskan ke bahagian anterior thalamus, menuju ke bahagian atas, iaitu ke cingulate gyrus. Akhirnya, kitaran ini kembali semula ke hipothalamus melalui hipokampus.
Bukan itu sahaja, beberapa kitaran yang berlainan telah dijumpai pada tahun 1938 oleh MacLean (1949). MacLean telah menggunakan Kitaran Papez sebagai sumber rujukan dan menunjukkan perkembangan yang kepentingan dalam Kitaran Papez yang asli itu. Satu perubahan yang dilakukan oleh MacLean ke atas Kitaran Papez ialah fungsi bahagian-bahagian dalam sistem limbik. Peranan yang dimainkan oleh cingulate gyrus telah berpindah kepada bahagian dalaman di hipothalamus, iaitu septum dan amygdala.
Menurut MacLean pada tahun 1968, fungsi septum melambangkan kebolehan satu-satu haiwan untuk menjamin generasi spesiesnya sendiri. Bagi amygdala pula, ia mempunyai fungsi yang berlainan daripada septum. Amygdala memberi simulasi kepada aktiviti seperti bergaduh (fighting), menyuap (feeding) dan tindakan lain yang biasanya berkaitan dengan perlindungan diri.
MacLean juga mengatakan bahawa septum dan amygdala juga berhubungan dengan olfactory apparatus dalam bahagian otak. Rasa hidu yang memainkan peranan yang penting dalam tindakan asas emosi. Oleh itu, tidak hairanlah terdapat perhubungan antara kedua-dua kitaran. Bukan itu sahaja, MacLean dan rakan-rakannya juga menjumpai kitaran yang ketiga ke dalam hipothalamus, iaitu dari hipokampus dan medial thalamus.
Teori-teori Emosi Menekankan Kognitif
Teori-teori emosi terkini lebih menekankan kepentingan kognitif atau pemikiran. Kebanyakkan teori ini mengandaikan bahawa pengalaman emosi yang kita alami bergantung kepada interpretasi kita yang subjektif terhadap situasi di mana kita berada. Salah satu teori emosi-kognitif utama menekankan kepada peranan pelabelan kognitif dalam menentukan emosi apa yang sedang dialami. Dari idea mengenai pelabelan kognitif ini terbit pula hipotesis bahawa manusia sering tersilap dalam menentukan punca sebenar emosi mereka. Satu lagi teori terbitan yang akan dibincangkan memperlihatkan bagaimana keseronokan dari sesuatu sumber boleh dialihkan kepada yang lain.


Teori Pelabelan Kognitif Schachter

Teori ini dianggap sebagai teori kognitif yang paling berpengaruh sekali. Stanley Schachter (1962) iaitu pengasas teori ini melihat pengalaman emosi manusia sebagai berpunca dari dua faktor utama iaitu: kebangkitan fisiologi dan tanggapan kita mengenai punca kebangkitan fisiologi tersebut. Menurut Schachter lagi, apabila manusia mengalami sesuatu kebangkitan fisiologi mereka akan mencari puncanya.. Tanggapan atau interpretasi manusia terhadap punca kebangkitan fisiologi tadi menentukan apakah emosi yang sedang mereka alami. Sebagai contohnya, sekiranya kita mengalami kebangkitan fisiologi seperti jantung yang berdengup kencang kerana kehadiran personaliti yang menawan hati, kita mungkin menanggap kebangkitan fisiologi itu berpunca dari personaliti tadi dan akhirnya merasakan bahawa kita sedang mengalami emosi cinta dengan personaliti tadi. Namun begitu, andaikan kita alami kesan fisiologi yang sama iaitu jantung kita berdengup kencang tetapi kali ini kita berada dalam sebuah bank yang sedang dirompak, kita mungkin melabel atau menginterpretasikan kebangkitan fisiologi kita itu sebagai perasaan takut. Sekiranya tiada penjelasan yang pasti mengenai kebangkitan fisiologi yang kita alami, kita tetap akan mencari penjelasan yang boleh diterima pakai untuk menwujudkan lebel emosi yang sesuai. Kita tidak akan mengalami sebarang pengalaman emosi sekiranya tidak terdapat kebangkitan fisiologi. Oleh itu kedua-dua fisiologi dan kognisi adalah diperlukan untuk mengalami sesuatu emosi.
Teori Pelabelan kognitif telah dikritik hebat dari beberapa sudut. Pertamanya, andaian teori ini bahawa manusia akan mengalami kebangkitan fisiologi yang serupa tidak kira emosi apa yang dialami, didapati tidak benar. Kajian terkini menunjukkan bahawa kebangkitan fisiologi seperti degupan jantung yang kuat dan kencang adalah lebih berkemungkinan untuk dilabel atau diinterpretasikan sebagai emosi yang negatif dari yang positif. Keduanya, bukan faktor situasi sahaja yang akan mempengaruhi tanggapan individu megenai emosi yang dialaminya tetapi faktor pengalaman dan ingatan turut memainkan peranan. Akhirnya, andaian oleh Schachter bahawa semua emosi melibatkan proses neurochemical yang sama didapati tidak tepat.
Walaupun dikritik dengan hebat, teori Pelabelan Kognitif Schachter ini tetap memberikan impak yang besar kepada kefahaman emosi manusia. Teori oleh Schachter ini telah merangsang minat terhadap penyelidikan emosi dan sekaligus meningkatkan jumlah penyelidikan dalam bidang emosi. Teori ini juga telah menjadi asas kepada beberapa teori emosi lain. Salah satu teori tersebut ialah teori Misatribusi.

Teori Misatribusi

Misatribusi bermaksud kesilapan dalam menentukan sumber kebangkitan emosi. Teori Pelabelan Schachter dengan jelas menyatakan bahawa pengalaman emosi yang dialami oleh individu adalah berpunca dari proses menanggap atau melabel. Dari idea ini terhasil pula idea bahawa terdapat kemungkinan individu mungkin misatribut kebangkitan emosi yang sedang dialaminya dari sumber emosional seperti takut kepada sumber tidak emosional seperti dadah.
Terdapat beberapa orang penyelidik telah cuba menguji kemungkinan tersebut. Para penyelidik terbabit juga cuba memastikan kegunaannya dalam membantu manusia menangani masalah emosi seperti kebimbangan melampau.. Dalam satu penyelidikan awal, semua responden telah diberikan pil plasebo yang tidak mendatangkan sebarang kesan fisiologi. Semua responden terbabit telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama telah diberitahu bahawa pil yang mereka ambil akan membangkitkan simptom fisiologi (dengup jantung bertambah kencang dan sebagainya). Kumpulan kedua pula telah diberitahu bahawa pil yang telah diambil akan menghasilkan simptom tidak berkaitan dengan rasa kebangkitan seperti rasa kebas di kaki. Sesudah itu semua responden telah dikenakan dengan satu siri kejutan eletrik yang ditingkatkan secara beransur-ansur hingga menimbulkan kesakitan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kumpulan pertama iaitu kumpulan kebangkitan lebih tahan menanggung kesakitan berbanding kumpulan bukan kebangkitan. Mengapakah kumpulan kebangkitan lebih bersabar menanggung kesakitan? Puncanya ialah kerana mereka misatribut sebahagian daripada kebangkitan akibat kesakitan kepada pil.
Kajian lain pula menunjukkan bahawa responden tinggi dalam ujian kebimbangan merasa kurang takut dalam situasi ujian di mana mereka mistribut kebangkitan kepada plasebo. Di samping itu, kajian juga mendapati tindak balas fisiologi terhadap rangsangan yang menakutkan berkurangan apabila responden atribut kebangkitan kepada sumber bukan emosi. Selain itu, saksi-saksi kepada sesuatu kejadian jenayah yang mengalami rasa takut boleh misatribut kebangkitan dialami menyebabkan mereka mencipta ingatan yang tidak tepat mengenai kejadian jenayah tersebut. Terdapat juga atribusi biasa yang berlaku dalam sesuatu keadaan. Sebagai contoh, sindrom prahaid, di mana wanita mengalami perasaan bengkeng, marah dan kesedihan seminggu sebelum kedatangan haid. Walaupun wanita sering tidak dapat mengawal emosi-emosi negatif mereka, kita sering mistribut kelakuan mereka kepada sindrom prahaid tersebut dan melabel wanita tanpa sindrom ini sebagai mempunyai sindrom tersebut.
Dalam keadaan kehidupan sebenar misatribusi boleh membawa kepada konflik dan kekejaman. Satu kejadian menunjukkan bahawa pelajar-pelajar Yahudi-Israel melakukan misatribusi mengenai niat kedua-dua pihak dalam konflik Arab-Israel yang dengan mudah boleh menyumbang kepada konflik di masa hadapan. Dalam kajian lain pula, para pelajar agresif dan tidak agresif berbangsa Latin dan berkulit hitam di beberapa buah sekolah menengah rendah di Amerika telah dibacakan dengan beberapa senario negatif seperti dalam perjalanan sekolah seorang rakan sekolah telah terlanggar mereka dengan agak kuat. Kemudian para pelajar tersebut diminta membuat pertimbangan mengenai niat rakan mereka, perasaan marah yang mereka alami dan kemungkinan mereka akan bertindak agresif. Dapatan kajian menunjukan bahawa responden yang berada dalam kumpulan agresif adalah lebih berkemungkinan menanggap tindakan rakan mereka itu sebagai sesuatu yang disengajakan dan akan bertindak balas secara negatif. Oleh itu, misatribusi mengenai niat rakan boleh membawa kepada keganasan.

Satu lagi tokokan dari teori misatribusi ialah hipotesis oleh Dolf Zillman (1978), bahawa kebangkitan dari satu sumber boleh mempengaruhi sesuatu reaksi dan kognisi yang sepatutnya tidak terjadi. Satu kajian telah dijalankan di British Columbia untuk menggambarkan hipotesis ini. Seorang penyelidik telah meminta beberapa orang lelaki yang baru sahaja menyeberangi sebuah jambatan kayu dengan ketinggian 3 meter atau sebuah jambatan gantung yang merentasi sebuah jurang dalam menjawab satu soal selidik. Apabila penyelidik tersebut adalah seorang wanita, lelaki yang baru menyeberangi jambatan bahaya itu lebih banyak membuat imaginasi seksual dalam bahagian soal selidik berkiatan dengan tajuk tersebut dan lebih berkemungkinan menelefon peyelidik wanita tersebut untuk membuat pertemuan selanjutnya.

Zillman menerangkan bahawa perkara tersebut terjadi kerana pemindahan keterujaan (transfer of excitation) berlaku. Kebangkitan yang dijana oleh penyeberangan jambatan gantung itu dipindahkan kepada interaksi dengan penyelidik wanita untuk meningkatkan kebangkitan seksual. Apabila penyelidik wanita yang sama mendekati lelaki tersebut lama sesudah lelaki tersebut menyeberangi jambatan gantung, tidak ada sebarang perbezaan dalam imaginasi seksual. Ini menunjukan bahawa kesan kebangkitan di jambatan adalah disebabkan oleh pemindahan keterujaan.
Dalam kajian lain, Zillman dan sekerjanya telah meminta para responden dalam penyelidikan mereka menunggang basikal hingga bernafas termengah-mengah dan jantung mereka berdengup kencang. Kemudian para responden tersebut telah dicaci oleh rakan penyelidik yang lain. Responden yang baru sahaja menunggang basikal didapati bertindak lebih agresif terhadap pencaci tersebut berbanding responden yang tidak terlibat dengan aktiviti yang merangsang kebangkitan fisiologi. Ini menunjukkan bahawa kebangkitan yang terhasil akibat menunggang basikal telah dipindahkan kepada situasi melibatkan cacian hingga merangsang perasaan marah. Beberapa kajian lain telah mengesahkan dapatan kajian Zillman ini. Pengajarannya, apabila anda perlu membuat seseorang rasa marah lakukannya apabila dia sedang tenang.
Teori-teori Nilaian Kognitif (Cognitive Appraisal Theories)
Terdapat teori-teori yang memberikan lebih penekanan kepada aspek kognitif berbanding teori Schachter. Pendekatan ini menumpukan kepada peranan aspek-aspek kognitif seperti pemikiran, pembelajaran, ingatan dan persepsi dalam pengalaman emosi. Salah satu teori tersebut ialah teori oleh Richard Lazarus.
Bayangkan anda berada dalam satu keadaan di mana anda dikritik dengan teruk oleh penyelia kerana anda melakukan sesuatu kesilapan di tempat kerja yang akan menyusahkan perkerja yang lain. Apakah emosi yang akan dicetuskan oleh situasi ini? Teori-teori nilaian kognitif akan mengandaikan bahawa jawapan kepada persoalan tersebut bergantung kepada bagaimana anda menilai atau menginterpretasi keadaan tersebut. Anda akan merasa marah kiranya anda merasakan kritikan terhadap diri anda adalah tidak adil kerana ada orang lain yang terlibat. Anda mungkin merasa malu kerana kritikan tersebut menggambarkan ketidakcekapan anda. Anda mungkin merasa sedih atau bersalah memikirkan kesan negatif kegagalan anda kepada rakan sekerja. Akhirnya, anda mungkin merasa emosi positif kiranya merasakan bahawa anda telah menjalankan tugas dengan cemerlang, kesilapan yang terjadi bukan tanggungjawab anda.
Pandangan bahawa manusia bertindak balas dengan emosi yang berbeza walaupun dalam situasi yang sama bergantung kepada bagaimana mereka menilai atau menginterpretasi situasi merupakan andaian asas atau utama dalam teori-teori nilaian kognitif. Penilaian anda terhadap situasi dan bukannya situasi itu yang menentukan kualiti dan intensiti tindak balas emosi. Teori-teori nilaian kognitif mengandaikan bahawa emosi yang terhasil dalam sesuatu keadaan adalah ditentukan oleh bagaimana situasi itu dinilai.
Menurut Lazarus (1993), setiap emosi mempunyai tiga komponen utama: nilaian kognitif, desakan tindakan dan pola reaksi badan. Nilaian kognitif terdiri daripada tindakan mentaksir rangsangan penting yang berkaitan dengan kesejahteraan seseorang. Peringkat pertama ini dinamakan penilaian asas. Sesudah itu, barulah penilaian mengenai strategi-strategi menangani stress yang muncul akibat situasi emosi tersebut. Penilaian asas merupakan penilaian kognitif mengenai antecedents emosi, bukannya penilaian mengenai isi kandungan emosi. Sebagai contoh, individu yang berhadapan dengan perompak berpistol akan menilai perompak dan pistol bukannya menilai perasaan takut yang dialaminya ketika itu.
Desakan tindakan melibatkan aktiviti memikirkan mengenai tindakan yang boleh diambil. Sebagai contoh, apabila berhadapan dengan perompak anda mungkin memikirkan untuk merampas pistol di tangannya, menjerit meminta pertolongan atau lari. Pola reaksi-reaksi badan pula merupakan tindak balas fisiologi yang merupakan sebahagian daripada pengalaman emosi. Beberapa kajian telah menyokong teori Lazarus dan kajian-kajian tersebut juga mendapati terdapat persamaan budaya dalam dimensi penilaian emosi. Lazarus juga berpendapat bahawa apabila seseorang mengalami kebangkitan emosi, beliau juga akan terlibat dalam proses menangani dan mengurangkan stress. Dua cara individu menangani stress menurut Lazarus ialah palaniasi (palliation) dan tindakan terus. Palaniasi merupakan satu proses bertahan di mana kita mengubah reaksi kita terhadap peristiwa beremosional. Individu tersebut mungkin tidak mempedulikan kejadian yang berlaku dan berharap ianya akan pergi begitu sahaja. Individu tersebut mungkin juga cuba mengubah reaksi fisiologi dengan bersenam, meditasi dan mengambil ubat-ubatan. Alternatif lain ialah dengan mengambil tindakan terus. Sebagai contoh, jika peperiksaan yang akan dihadapi merungsingkan individu, beliau mungkin mengambil tindakan terus dengan belajar lebih tekun.

Teori Psikoanalitik: Peranan minda bawah sedar dalam emosi.
Dalam teori psikoanalitinya, Sigmund Freud menyatakan bahawa kebanyakan pengalaman emosi adalah disebabkan oleh proses-proses bawah sedar. Minda bawah sedar menurut teori psokoanalitik ialah satu daerah personaliti yang mengandungi emosi, motif dan ingatan mengenai pengalaman lalu yang tidak disedari namun amat berpengaruh dalam tingkah laku. Sebagai contoh, kebanyakan pengalaman zaman kanak-kanak adalah di bawah sedar. Sebagai orang dewasa, kita mungkin tidak menyedari atau ingat tentang pengalaman zaman kanak-kanak kita, tetapi ia tetap merupakan sumber utama emosi dan motivasi. Ia boleh menyebabkan kita mengalami sesuatu emosi tanpa menyedari dari mana ia datang.
Teori psikoanalitik lebih memberikan focus kepada emosi negatif, terutamanya kebimbangan dan marah. Kedua-dua emosi tersebut dikatakan berpunca daripada konflik yang berlaku pada tahap bawah sedar. Emosi negatif yang dialami berpunca dari konflik bawah sedar akan dialami secara sedar dalam bentuk gangguan dan ketidakselasaan. Sebagai contoh, kita tidak mengahadapi sebarang peperiksaan, tiada masalah di tempat kerja dan tiada masalah hubungan dengan orang lain, tetapi kita tetap juga merasa bimbang. Teori Psikoanalitik akan menyatakan bahawa kebimbangan kita itu adalah berpunca dari konflik bawah sedar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan