Site Info


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Memaparkan catatan dengan label Sumber dan Info Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sumber dan Info Buku. Papar semua catatan

Isnin, 4 Mei 2009

SeJaRaH KeRaJaaN MaMLuK


Kemunculan kerajaan mamluk yang memerintah Mesir dan Syria telah berjaya membuka mata dunia dan membawa nafas baru dalam sejarah politik Islam berikutan kejayaan kerajaan ini dalam mengalahkan Mongol di cAyn Jalut pada 25 Ramadan 658H/ 3 September 1260M. Kemenangan ke atas Mongol telah menjadi modal besar untuk terus melebarkan sayap kekuasaan. Peranan yang dimainkan oleh kerajaan Mamluk telah mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah kerajaan Islam selepas kejatuhan Kota Baghdad. Selain kejayaan tersebut, kerajaan Mamluk merupakan kerajaan pertama di Timur Tengah yang diterajui dan dipimpin oleh golongan hamba yang telah terlatih dalam sistem ketenteraan dan sebahagian daripadanya mempunyai kebolehan dalam sistem pentadbiran Negara seperti Sultan al-Zahir Baybars al-Bunduqdari (658-675H/1260-1277M).

Khalifah al-Muctasim yang menggantikan Khalifah al-Ma’mun menerajui kerajaan Abbasiyyah merupakan individu yang pertama memperkenalkan dan bertanggungjawab membawa golongan Mamluk ke dalam sistem pentadbiran Negara menerusi sistem ketenteraan. Kewujudan pasukan tentera Mamluk dalam sistem pentadbiran Abbasiyyah telah membuka era baru dalam sejarah dan sistem ketenteraan Islam. Walau bagaimanapun, pencapaian dan kejayaan mereka di Baghdad sebelum ini tidak diperbesarkan dan tidak dperkatakan oleh para sejarawan kerana mungkin dipengaruhi faktor sekeliling oleh kawasan yang didiami Islam yang menyebabkan mereka kelihatan seolah-olah tidak mempunyai kepentingan yang perlu diketengahkan. Penggunaan tentera Mamluk pada mulanya tidak dianggap sebagai satu elemen penting dalam pasukan ketenteraan Negara sehinggalah kerajaan Ayyubiyyah menaikkan taraf penggunaan mereka dalam bidang ketenteraan dan sekaligus dalam pentadbiran Negara. (Khairiah Ab Rahaman. 2004. Hlmn: 2)

Pemerintahan Mamluk di Mesir mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana keseluruhan pemerintahannya terdiri daripada kalangan hamba yang dibeli. Pemerintahan Mamluk Bahri mula berkembang berikutan kejatuhan kerajaan Ayyubiyyah pada 647H/1249M. Pemerintahan pertama bagi dinasti Mamluk Mesir ialah Muiz al-Din Aybak (648-655H/1250-1257) daripada golongan Mamluk Bahri. Golongan Mamluk Bahri mula memerintah Mesir dari 648-784H/1250-1382M. Kegemilangan zaman Mamluk Bahri bermula apabila mereka berjaya mengalahkan Mongol serta menakluki Palestine dan Syria. Kejayaan tersebut telah memberikan satu peluang besar kepada mereka untuk mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan mereka. Perluasan kekuasaan Mamluk Bahri adalah luas meliputi sebahagian kawasan semenanjung Arab termasuk sebahagian kecil Anatolia dan Asia Kecil sehinggalah ke Nubia di sebelah Selatan Mesir. Kejayaan ini bukanlah berdasarkan kepada etnik dan bangsa Mamluk semata-mata tapi juga berasaskan kepada kebolehan dan kemampuan mereka. Di samping kejayaan dalam bidang ketenteraan, kerajaan Mamluk juga berjaya dalam melaksanakan pembangunan Negara dalam pelbagai aspek seperti politik, sosial, pendidikan dan ekonomi. Bagaimanapun, arus perubahan mula berlaku dalam sistem pentadbiran berikutan pengambilan golongan Mamluk yang baru iaitu Mamluk Burji. Hal ini menyebabkan pelbagai polemik baru berlaku dan akhirnya menyebabkan kejatuhan Mamluk Bahri telah diganti dengan Mamluk Burji bermula 784-922H/1382-1517M meneruskan kelangsungan pemerintahan Mamluk di Mesir.

**tesis 2009**

Khamis, 2 April 2009

As-Syi'r wa as-Syu'ara, Ibn Qutaibah

1.0 LATAR BELAKANG PENGARANG

Ibn Qutaybah al-Dinawari atau nama sebenarnya Abu Muhammad Abdullah bin Muslim bin Qutaybah al-Dinawari, seorang tokoh terkemuka bukan sahaja di dalam bidang kesusasteraan dan bahasa Arab bahkan sangat alim mengenai ilmu-ilmu keagamaan seperti al-Quran dan al-Hadith. Al- Dinawari dinisbahkan daripada Dinawar iaitu sebuah Bandar di dalam wilayah al-Jabal, berhampiran dengan Qarmisin. Beliau pernah menetap dan menjadi qadi di Dinawar.
Menurut sejarawan Ibn Qutaybah adalah berketurunan Parsi (Iran) dan fakta ini disokong oleh Ishaq Musa Husaini yang berpendapat beliau pernah menjadi qadi di Dinawar, yang majoriti penduduknya adalah kaum Parsi dan bercakap dalam bahasa Parsi namun beliau dianggap sebagai orang Arab dan menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda disebabkan percampurannya dengan orang Arab melalui proses pengaraban pada awal abad kedua Hijrah.
Para sejarawan sepakat dan bersetuju tentang tempat kelahiran Ibn Qutaybah pada tahun 213 Hijrah bersamaan 828 Masihi iaitu dalam zaman pemerintahan al-Ma’mun bin al-Rashid. Para pengkaji berselisih pendapat tentang tempat kelahirannya tetapi yang lebih tepat ialah beliau dilahirkan di Kufah kemudian berpindah ke Baghdad, pada masa usianya masih kecil dan mendalami pengetahuan di sana. Al-Khatib al-Baghdadi menyifatkan beliau sebagai anak watan Baghdad, Iraq yang terkenal dengan pusat pergerakan ulama’ dalam pelbagai aspek pengetahuan, selain menjadi Bandar ilmu dan pendidikan terulung.
Para sejarawan sekali lagi berselisih mengenai tarikh kematian Ibn Qutaybah. Ibn Khallikan menyebut beliau meninggal dunia pada tahun 270 atau 271 Hijrah, pada ketika yang lain beliau menyatakan bahawa tarikh yang paling tepat ialah pada awal bulan Rejab atau pertengahannya tahun 276H. Tarikh tersebut juga dipersetujui oleh al-Suyuti, al-Baghdadi, Ibn al-Anbari dan al-Jauzi pula membahaskan tarikh kematian Ibn Qutaybah ialah pada awal malam bulan Rejab tahun 276H.
Para pengkaji mempunyai pandangan yang berbeza tentang peribadi Ibn Qutaybah. Jelasnya, Ibn Qutaybah memiliki peribadi yang amat menarik. Beliau telah menghabiskan sisa hidupnya dengan berbakti kepada manusia di zamannya dan sumbangannya dapat dilihat sehingga ke hari ini. Beliau disifatkan sebagai seorang yang thiqah, kuat beragama, mulia, alim serta banyak mengarang kitab-kitab yang bermutu. Ibn al-Anbari mengatakan, Ibn Qutaybah memiliki kepakaran dalam bidang bahasa, nahu dan perundangan Islam serta mempunyai pengetahuan yang cukup luas dalam pelbagai bidang yang diterokai.
Selain buku “al-Shi’r wa al-Shu’ara” beliau telah mengarang banyak buku dalam berbagai bidang ilmu yang begitu besar nilainya. Antara yang paling masyhur ialah:
1. Ta’wil Mukhtalaf al-Hadith
2. Al-Ma’arif
3. ‘Uyun al-Akhbar
4. Al-Imamah wa al-Siasah
5. Al-Ashribah
6. Mushkil al-Quran dan lain-lain lagi.

Namun demikian, ada segolongan ulama yang menunjukkan sikap kurang senang terhadap peribadi beliau serta tergamak membuat tuduhan liar dan tohmahan yang tidak berasas. Beliau dituduh pro kepada ajaran al-Tashbih, Karramiyah dan pendusta. Ringkasnya, ketokohan dan peribadi Ibn Qutaybah diiktiraf oleh tokoh sezamannya dan agak sukar untuk diterima bahawa beliau membuat perkara-perkara yang melanggar batas-batas agama.

Kesimpulannya, Ibn Qutaybah diakui sebagai seorang yang warak, berhati mulia, kuat berpegang kepada agama Islam dan banyak mengarang kitab-kitab yang berunsur keagamaan seperti “Gharib al-Hadith”, “Takwil Mushkil al-Quran”, dan lain-lain lagi. Sudah pasti seorang yang pendusta tidak akan mengarang kitab-kitab yang sebegitu indah dan menjadi pegangan serta pedoman bagi masyarakat Islam hingga sekarang.

1.1 Ibn Qutaybah sebagai seorang pengkritik sastera.
Kesusasteraan dan kritikan sastera merupakan bidang yang diceburi oleh beliau secara serius semasa hayatnya. Selain merupakan tokoh pengkritik yang terkenal, beliau juga mencipta nama sebagai sasterawan agung, memiliki sifat-sifat sebagai karyawan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekiranya penilaian dan keputusannya ke atas karya-karya sastera agak tepat dan adil. Hal ini dapat dilihat ketika beliau menghakimi karya sastera, baik sastera baru atau lama tanpa tekanan emosi dan sikap fanatik keindahan dan kepuitisan adalah asas ukuran penilaiannya.

Sebagai seorang pengkritik yang beretika, beliau memiliki idea kreatif, metod kajian yang jelas, adil dalam membuat keputusan, tegas dan nekad dalam perjuangan. Hasilnya, beliau telah memberi pandangan revolusioner (pandangan pembaharuan yang cepat) dalam bidang kritikan sastera dan ini adalah suatu pembaharuan dan kelainan. Beliau mengasingkan antara kajian agama dan sastera. Menurutnya, bidang agama perlu kepada ikutan sepenuhnya oleh orang-orang Islam manakala sastera sewajarnya bebas dan boleh diterima oleh sebarang manusia tanpa memandang status atau agama. Untuk itu, beliau telah mengkaji kesemua jenis puisi tanpa mengira tema, samada tema cinta atau rangkap-rangkap yang tidak bermoral. Beliau kagum dengan puisi garapan Abu Nuwas dan memberi perhatian serius dalam pengkajiannya.


2.0 LATAR BELAKANG BUKU “AS-SHI’R WA AL-SHU’ARA”

Buku ini telah dicetak untuk pertama kalinya di Leiden pada tahun 1904M dan telah diulang cetak beberapa kali di Eropah dan Mesir. Cetakan terakhir di Mesir telah disunting dan diulas oleh pemimpin terkenal, Ahmad Muhammad Shakir pada tahun 1366H. Buku yang menjadi rujukan penulis ialah yang dicetak oleh percetakan Brill, Leiden pada tahun 1904M, disunting oleh M.J.Goeje.

Ia merupakan sumber terawal dan terpenting dalam persoalan kritikan sastera Arab yang mengumpul salasilah dan biodata para penyair, karya-karya mereka disertai dengan ulasan dan kritikan. Perbezaannya dengan buku “ al-Tabaqat” dan “al-Ma’ajim” agak jelas kerana pengarang tidak menghimpunkan para karyawan dalam bentuk kategori, keunggulan puisi-puisi mereka atau berdasar kepada urutan abjad tetapi disusun berasaskan urutan zaman dari satu sudut dan asas hubungan antara para penyair seperti hubungan kekeluargaan dan keqabilahan dari sudut yang lain.

Buku ini boleh dikategorikan kepada 2 bahagian. Bahagian pertama memuatkan perbincangan mengenai puisi dan bahagian kedua mengemukakan persoalan penyair dengan segala hal yang berkaitan. Analisis terperinci akan dikemukakan dalam bahagian pertama kerana ia mengetengahkan perbincangan yang amat penting untuk diteliti oleh para pengkaji dan peminat kesusasteraan.


3.0 ULASAN BUKU “AS-SHI’R WA AL-SHU’ARA”

Bahagian pertama :

a. Pembahagian tingkatan puisi
Pengarang mengkategorikan puisi berdasarkan kekuatan isi dan bentuk kepada empat kumpulan utama iaitu:
i) Puisi yang mempunyai kekuatan lafaz dan idea. Puisi jenis ini paling baik dan hanya mampu digarap oleh para penyair popular sahaja. Beliau membawa beberapa contoh puisi yang mempunyai ciri-ciri sedemikian. Antaranya puisi yang dihasilkan oleh Abu Dhu’ayb al-Huzali:


والنفس راغبة اءذا رغبتها * واءذا ترد إلى قليل تقنع

Puisi al-Nabighah:
كليني لهم يا أميمة ناصب * وليل أقاسيه بطيء الكواكب

Puisi Abu Dhu’ayb diulas sebagai “Puisi yang paling bermutu pernah diucapkan oleh orang-orang Arab”, manakala puisi kedua merupakan “Puisi penyair zaman klasik dengan pembukaan yang paling menarik pernah dihasilkan”. Beliau mengakui puisi jenis ini amat banyak dan diperturunkan sewaktu perbincangan tentang kisah-kisah para penyair. Seperkara yang perlu disebut ialah yang dimaksudkan dengan lafaz di sini memberi pengertian yang lebih luas dan umum, bukan hanya satu perkataan yang berasingan tetapi susunan perkataan yang bermaksud, wazan, dan qafiah. Ahmad al-Shayib menyifatkan suatu kekurangan apabila pengarang tidak menghurai alasan dan sebab dalam membuat keputusan ke atas puisi-puisi yang ditonjolkannya. Bagaimanapun, pengkaji beranggapan ini merupakan suatu keistimewaannya yang tersendiri, sesuai dengan faktor masyarakat dan masa.

ii) Puisi yang indah lafaz tetapi lesu idea.
Pengarang membawa contoh puisi Uqbah bin Ka’b bin Zuhayr atau puisi Kuthayr Izzah:
ولما قضينا من مني كل حاجة * ومسح بالأر كان من هو ماسح
وشدت هو على حدب المهارى رحالنا * ولا ينظر الغادى الذي هو رائح
أخذنا بأطراف الأحاديث بيننا * وسالت بأعناق المطى الأباطح

Menurut Ibn Qutaybah, lafaz yang digunakan begitu indah dan memikat dengan pembentukan rangkaikata yang matang, makhraj huruf yang seragam dan mudah, hasilnya terserlah fasahah kalimah dan pengucapan. Apabila diteliti ideanya, ternyata hanya suatu hikayat dan perbualan ketika dalam perjalanan pulang sambil menunggang kuda setelah sempurna melakukan ibadat haji.
Perlu dijelaskan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Ibn Qutaybah dengan kekuatan idea adalah merujuk kepada perspektif akhlak dan hikmah tanpa menoleh kepada sudut-sudut lain yang melahirkan kekuatan makna. Puisi tersebut telah dibincang dan dikaji secara panjang lebar oleh Abd al-Qahir al-Jurjani dan diakui sebagai puisi yang bermutu aspek idea dan bentuk. Satu perbezaan antara dua tokoh dalam aspek citarasa seni.
iii) Puisi yang kuat idea tetapi lemah pada lafaznya, antara puisi yang diketengahkan oleh pengarang ialah puisi Labid bin Rabiah:

ما عاتب المرء الكريم كنفسه * والمرء يصلحه الجليس الصالح

Komennya “Puisi ini kuat idea dan kemas jalinannya, namun ia kurang keindahan dan kemanisan (lafaz)”. Penelitian ke atas puisi tersebut, dapat disingkap bahawa ia menghidangkan idea kemurnian akhlak iaitu mengajak kepada keinsafan melalui proses muhasabah diri dan memilih rakan pergaulan. Walaubagaimanapun, ideanya ditunaikan dalam bentuk pernyataan secara langsung tanpa hiasan dan ukiran pada perkataan dan untaiannya.

iv) Puisi yang lesu idea dan lafaz seperti puisi al-A’sha tentang wanita:
وفوها كأ قاحى * غداه دائم الهطل
كما شيب براح با * رد من عسل النحل

Penyair membuat perbandingan tentang mulut dan gigi kekasihnya dengan sejenis bunga yang digelar ( أقحوان ) dan air liur dengan arak daripada bunga-bungaan. Maksudnya, mulut dan gigi yang menawan manakala air liurnya bagai arak yang dihasilkan daripada madu bunga. Pengarang menolak idea sedemikian manakala aspek perbandingan (lafaz) agak keterlaluan dan tidak bersahaja.

d) Puisi dan penyair: Antara al-Takalluf ( التكلف) dan al-Matbu’ ( المطبوع )
Isu ini merupakan isu pokok dan dijelaskan dengan panjang lebar selaras dengan suasana zaman yang hangat memperkatakannya. Pengarang merupakan tokoh pertama memberi takrif dan melebarkan skop perbincangannya. Dia juga mendapat tempat yang istimewa dikalangan para pengkaji hari ini.
Takrif takalluf menurutnya ialah karyawan yang mengambil tempoh yang lama mengkaji dan mengulangi pemerhatian ke atas karya sastera, umpamanya Zuhayr dan al-Hutay’ah. Hasilnya, takalluf penyair memberi kesan kepada karya, demikian hal dengan al-Matbu’.
Pembersihan dan penyaringan puisi merupakan satu unsur takalluf disisinya. Nyata beliau lupa bahawa usaha dan tugasan pembersihan puisi daripada unsur-unsur yang mencacatkan adalah satu kerja pengukuhan, pengindahan dan ia amat dipuji. Takalluf sebenarnya bermaksud keterlaluan dan paksaan ke atas perasaan, citarasa dan pengalaman untuk menghasilkan karya sastera.
Seterusnya pengarang menyebut faktor-faktor ke arah wujudnya puisi takalluf, “Faktor-faktor yang menyebabkan kelembapan puisi dan kewujudan al-takalluf antaranya keinginan, kerinduan, kemabukan, keseronokan, kesedihan dan kemarahan”. Menjadi rutin pengarang mengutarakan contoh-contoh dengan membawa cerita-cerita para tokoh dan penyair dahulu atau sezaman dengannya sebagai bukti menyokong kesahihan fakta dan pendapat.
Apabila diteliti, jelas menunjukkan bahawa apa yang diutarakan adalah faktor-faktor yang berkaitan dengan penggerak citarasa dan pengalaman perasaan, membantu merangsang dan memimpin jiwa untuk mencipta karya sastera. Umpamanya keinginan, adakala ia menjadi satu elemen membuahkan keindahan dan keutuhan karya dalam tema pujian kerana penyair yang mengharapkan habuan dan sumbangan semestinya berusaha menghasilkan sesuatu yang terbaik dan paling cemerlang. Ini akan memungkinkan hajat dan cita-citanya tercapai. Demikian halnya dengan faktor-faktor yang lain.
Asasnya ialan kombinasi penghayatan dan pengjiwaan individu dalam apa jua tema yang diceburinya. Kemampuan penyair menghayati kedudukan orang yang dipuji, perasaan kagum dengan tugasan, perwatakan dan sumbangannya mampu mewujudkan kekuatan dalam sesuatu karya sekalipun bermotifkan habuan dan kedudukan.
Pengarang juga menyentuh elemen-elemen sampingan yang membantu melicinkan usaha mencipta karya sastera dan mengawal diri daripada terjerumus ke lembah takalluf seperti faktor tempat dan masa yang sesuai untuk menjalankan kegiatan tersebut. Oleh itu, kategori dan mutu karya adalah berbeza bukan sahaja dikalangan sasterawan bahkan juga dikalangan para penulis.
Isu pengambilan puisi juga ditimbulkan dengan mensyaratkan puisi diambil atau diterima melalui riwayat (secara lisan) daripada perawi-perawi atau guru-guru, bukan secara tulisan. Sebenarnya, masalah ini telah pun disentuh oleh Ibn Sallam secara ringkas sebagai asas dan prinsip dalam “al-Tabaqat” untuk dipanjangkan oleh generasi selepasnya. Ibn Qutaybah melebarkan fakta tersebut dengan mengemukakan alasan dan sebab kemestian menerima puisi melalui lisan. Antaranya kedapatan lafaz yang sukar dan asing, penggunaan dialek yang berbagai, masing-masing menuturnya mengikut daerah dan penduduk.
Beliau membawa contoh puisi Abu Dhu’ayb yang telah dibaca di dalam suatu majlis sajian puisi
بأسفل ذات الدير أفرد جحشها

Kesilapan pada perkataan الدير telah ditegur oleh seorang Arab badwi. Perkataan sebenar ialah الدبر , kekeliruan antara huruf “ya” dengan “ba”. Pengarang sewajarnya mengetengahkan isu ini setelah selesai perbincangan mengenai persoalan sebelumnya. Ini dianggap sebagai pemindahan tajuk perbincangan yang kurang harmonis dan sistematik.
Berbalik kepada persoalan takalluf puisi dan pemuisi. Pengarang mengemukakan tanda untuk mengesan keadaan tersebut, antaranya kedapatan beraneka darurat puisi seperti pada wazan, qafiah, rangkaikata, struktur, tatabahasa, membuang maksud yang diperlukan, menambah idea yang kurang penting dan lain-lain lagi. Pemuisi pula lama berfikir dan berpeluh dahi kerana kesukaran mencipta karya seni. Selain itu, beliau juga menyebut antara kesan takalluf puisi ialah tidak ada hubungan penghayatan, penjiwaan dan urutan pengalaman perasaan antara satu rangkap puisi dengan rangkap yang lain.
Ada pertembungan antara pendapat beliau tentang penyair takalluf dan tanda mengenali unsur-unsur takalluf di dalam sesebuah karya sastera. Ini kerana penyair yang membuat penelitian dan pembersihan berusaha mewujudkan kualiti, hubungan dan keseragaman dalam rangkap-rangkap puisi, pada masa yang sama beliau melihat perlakuan sedemikian adalah penyair yang takalluf. Muhammad Mandur mengulas, katanya, “Seperti biasa beliau membuat kenyataan yang tepat dan dikagumi tentang teori dan takrif tetapi silap dalam aspek pemilihan dan praktikal.
Persoalan terakhir yang disentuh ialah tentang penyair-penyair Matbu’ dan beberapa kecacatan puisi dengan mengemukakan empat sifat sasterawan Matbu’, dua daripadanya merujuk kepada puisi. Jelasnya, beliau tidak memisahkan antara puisi dengan pemuisi kerana antara keduanya saling berkait rapat.
Sifat pertama secara khusus merujuk kepada pemuisi katanya, “Penyair-penyair matbu’ ialah mereka yang mampu mencipta puisi yang unggul dengan rasa penuh kelapangan dan menguasai qafiah”. Kedua merujuk kepada puisi, “Keratan pertama menyuluh keratan kedua, pembukaan menyerlahkan rima akhir (qafiah). Maksudnya ada keseragaman, ketertiban dan hubungan intim antara rangkap-rangkap puisi sehingga pembaca mampu mengesan idea dan kesudahannya hanya dengan meneliti rangkap-rangkap awal. Semua ini hasil keseragaman pengalaman perasaan dan jiwanya dalam tema tertentu.
Ketiga dan keempat, “Terpancar keindahan, ukiran, nilai dan kemurnian semulajadi daripada puisinya, apabila diminta mencipta dalam tema-tema tertentu ia tidak gagap dan tersekat-sekat. Pandangan akhir ini telah membuka ruang kepada generasi selepasnya berpolimik dan menyifatkan maksud beliau dengan bersahaja الطبع ialah kelancaran (المرتجل), berkarya dalam apa jua tema yang diminta. Diakui bahawa kelancaran menggarap karya dalam sesuatu tema merupakan salah satu kesan sifat bersahaja (الطبع). Namun, antara bersahaja dan kelancaran masing-masing mempunyai definisi dan pengertian yang berbeza.
Pengarang menghimpunkan berbagai bentuk kecacatan dan kesilapan yang sewajarnya dijauhi oleh para sasterawan. Hakikatnya segala kecacatan yang diutarakan adalah berkaitan dengan qafiah dan wazan seperti al-Iqwa’, al-Sanad, al-Ita’, al-Ijazah dan sebagainya. Beliau juga menyebut tentang kesilapan tatabahasa dan bahasa seperti tindakan membaris sakin (التسكين) perkataan yang berbaris dan lain-lain lagi. Menjadi rutin pengarang membawa beberapa contoh riwayat dan puisi sebagai alasan dan dalil mengukuhkan pendapat dan buah fikirannya.
Akhir sekali pengarang menasihati sasterawan baru supaya tidak meniru karyawan tua dalam penggunaan perkataan asing, perkataan yang sukar dan bahasa yang janggal serta memilih sesuatu yang baik dan menguntungkan seperti pemilihan dan penggunaan perkataan yang mudah, rangkaikata yang difahami ramai serta memikat jiwa.
Bahagian kedua:
Bahagian kedua buku ini secara khusus membicarakan persoalan para sasterawan. Pengarang memulakan perbincangannya dengan pernyataan tentang generasi penyair paling awal katanya, “Bagi penyair-penyair awal, mereka mencipta puisi yang ringkas dan amat sedikit sekali sempena sesuatu peristiwa atau tuntutan. Antara mereka ialah Duwayd bin Nahd al-Quda’i, A’sur bin Sa’d bin Qays, al-Harith bin Ka’b dan beberapa orang lagi yang tidak disebut nama-nama mereka, hanya membawa contoh-contoh puisi mereka. Isu ini telah dibincang oleh Ibn Sallam sebelumnya. Bezanya Ibn Qutaybah hanya menyentuh secara sepintas lalu dan ringkas sekali.
Pengarang meneruskan perbincangan sebenar dengan mengetengahkan biodata para sasterawan, cerita, kisah dan segala yang berkaitan dengan kesusasteraan semasa hayat mereka yang dimulai dengan penyair Imri’u al-Qays dan berakhir dengan Ali bin Jabalah. Seramai 206 penyair telah disenaraikan, menggabung para penyair dalam satu bahagian jika ada hubungan keqabilahan dan kekeluargaan seperti adik-beradik atau sebagainya. Contohnya dapat dilihat ketika pengarang menggabungkan penyenaraian Malik dan Mutammimun, kedua-dua mereka adalah anak kepada sasterawan Nuwayrah.
Method sejarawan menjadi pilihan beliau dalam penyenaraian para penyair, didahului dengan penyair-penyair zaman Jahiliyyah, Umawiyyah dan akhir sekali zaman Abbasiyyah. Walaubagaimanapun, ada ketikanya beliau mengakhirkan sebutan para penyair Jahiliyyah daripada penyair-penyair zaman Umawiyyah dan Mukhadaram seperti Durayd bin al-Sammah disebut selepas Jarir, al-Farazdaq dan al-Akhtal.
Selain itu, hubungan kekeluargaan dan keqabilahan juga diambil kira oleh pengarang sebagai dasar kajiannya. Ini dapat dilihat ketika pengarang menterjemah penyair Ka’b bin Zuhayr selepas bapanya Zuhayr bin Sulma, al-Muraqqish al-Asghar selepas al-Muraqqish al-Akbar, begitu juga dengan penyair-penyair daripada qabilah Hudhayl, diterjemah secara berturutan dengan Abu Dhu’ayb sebagai pendahulu.
Demikian secara umum antara perbincangan yang dimuatkan di dalam bahagian kedua buku ini. Menurut segolongan pengkaji, bahagian kedua ini lebih merupakan mu’jam atau sumber biodata para sasterawan daripada ulasan dan komentar yang bercirikan kritikan. Kepentingan dan nilainya lebih berpihak kepada bahagian pertama berbanding bahagian kedua.



4.0 KOMEN

Sepertimana dapat ditanggapi dari judulnya, buku ini secara khusus memperkatakan tentang puisi dan penulisnya. Pengarang menjelaskan method kajiannya. Dapat disingkap di sini, pengarang menghimpun dan mengetengahkan hanya para penyair yang terkenal dan puisi-puisi yang matang, puitis dan boleh dijadikan hujah serta alasan dalam permasalahan bahasa dan keagamaan. Ada 2 sebab pengarang membuat demikian, Pertama kerana beliau hanya mengenali sebahagian kecil dari para penyair yang agung yang tidak terhitung jumlahnya dan kedua, disebabkan tidak wujud fakta atau cerita-cerita yang berkaitan dengan mereka. Oleh itu tiada faedahnya menyebut nama-nama mereka sahaja tanpa mengemukakan cerita dan perihal perjuangan mereka dalam kesusasteraan.
Metod kajian Ibn Qutaybah ada persamaan dengan metod kajian Ibn Sallam ketika beliau membawa suatu persoalan tentang penyair yang disusuli dengan cerita-cerita mereka sebagai alasan dan hujah menguatkan kebenaran sesuatu fakta.
Selain itu, beliau hanya mengetengahkan penyair-penyair yang komited dengan kesusasteraan manakala yang pernah menghasilkan puisi tetapi lebih cenderung kepada ilmu fiqh atau hadith tidak disenaraikannya. Menurut beliau, sekiranya disenaraikan juga golongan tersebut sudah pasti akan membawa kepada penyenaraian ramai tokoh-tokoh silam seperti para sahabat r.a, tabi’in, khalifah dan ramai lagi.
Antara dasar kajiannya, beliau menyebut “Aku tidak mengiktiraf puisi sebagai paling unggul hanya kerana diakui baik oleh orang lain, begitu juga aku tidak melihat penyair silam dengan penuh kemesraan kerana kesilaman mereka dan tidak melihat dengan kedangkalan kepada penyair baru (sezamannya) hanya kerana zaman mereka tetapi aku melihatnya secara adil kepada kedua-duanya dan memberikan mereka hak yang sebenarnya.
Satu kelainan dan pembaharuan yang diusahakan oleh beliau berbanding dengan Ibn Sallam dan para tokoh bahasa dan tatabahasa khususnya. Mereka hanya mengiktiraf puisi dan penyair klasik, menolak penyair sezaman dan karya mereka sekalipun bernilai estetika dan tinggi mutunya. Prinsip Ibn Qutaybah dalam menilai puisi lebih jelas dan terserlah daripada al-Jahiz kerana beliau melihat kepada kedua-dua aspek, bentuk dan idea, berbeza dengan al-Jahiz yang hanya melihat dari aspek perspektif lafaz sahaja. Tetapi sedikit kekurangan di sini iaitu pengarang tidak menyebut puisi yang menyentuh perihal kuda, kata-kata hikmah, angin, hujan dan sebagainya yang diwarisi daripada orang-orang arab silam.


5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya Ibn Qutaybah telah menyumbangkan sesuatu yang amat berharga kepada manusia sejagat khususnya kepada pengkaji dan peminat kesusasteraan. Pengambilannya daripada Ibn Sallam dan Ibn Rashiq memang tidak dinafikan kerana ini merupakan rutin kehidupannya, yang mutakhir berpedoman dengan yang mutaqaddim. Keistimewaannya begitu terserlah ketika membuat pemilihan puisi, hanya karya yang unik dan tinggi nilainya dipilih menjadi contoh dan hujjah menguatkan ulasan dan pendapat. Jelasnya, Ibn Qutaybah telah membebaskan pemikiran dan mengangkat martabat serta kedudukan kritikan sastera ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang.

6.0 RUJUKAN

Md Nor Abdullah. 1997. Kritikan Sastera Dalam Kesusasteraan Arab Klasik Dari Abad Pertama Hingga Abad Ketiga Hijrah: Satu Kajian Antara Teori dan Praktikal. Fakulti Pengajian Islam. UKM: Bangi

Muhammad Aminal-Dhanawi. 2000. As-Shi’r Wa Al-Shu’ara Au Tabaqat as-Syu’ara. Dar Kutub Ilmiah. Beirut-Lubnan

Teori-teori Emosi

Pengenalan

Bagaimanakah kita hendak menjelaskan mengenai emosi yang sedang kita alami? Apakah yang menyebabkan kita sedih dalam suatu situasi atau keadaan tetapi sebaliknya merasa gembira dalam situasi atau keadaan yang lain. Apakah urutan peristiwa yang berlaku apabila kita mengalami sesuatu perasaan. Bagaimanakah kognisi mempunyai kaitan dengan pengalaman emosi yang subjektif? Apakah hubungan antara emosi dan tingkah laku? Beberapa teori mengenai emosi telah dirangka dalam usaha untuk menjawab persoalan yang dikemukakan tadi. Teori-teori emosi ini berbeza dari sudut penekanan yang diletakkan ke atas fisiologi, tingkah laku dan kognisi.

Teori-teori Emosi Menekankan Fisiologi

Walaupun ke semua teori emosi mengakui peranan yang dimainkan oleh faktor fisiologi dalam emosi tetapi terdapat beberapa teori yang memberikan penekanan yang lebih kepada faktor fisiologi ini. Di antara teori-teori yang menekankan perubahan fisiologi ini ialah: Teori James-Lange, Teori Cannon-Bard dan Teori Psikobiologi.
Teori James-Lange

Di akhir abad ke Sembilan belas “bapa psikologi” Amerika Syarikat iaitu William James (1884) mendakwa bahawa perubahan-perubahan fisiologi mendahului sesuatu pengalaman emosi. Tidak lama sesudah itu ahli fisiologi dari Denmark bernama Carl Lange (1887) menyokong dakwaan William James itu. Oleh itu teori ini dinamakan teori James-Lange. Hipotesis utama teori ini ialah reaksi-reaksi fisiologi terhadap rangsangan menyebabkan emosi. Menurut James (1890, ms. 449-450):
“Akal budi menyatakan, kita tidak bernasib baik, merasa menyesal dan menangis; kita terserempak dengan Beruang, merasa takut dan lari; kita diperlekehkan oleg pesaing, kita merasa marah dan melawan….. namun kenyataan yang lebih rasional ialah kita merasa menyesal kerana kita menangis, merasa marah kerana kita melawan, merasa takut kerana kita kelam kabut.”
Hipotesis utama teori ini sangat bertentangan dengan kepercayaan umum mengenai emosi. Sebagai contohnya menurut kepercayaan umum, kita rasa gembira oleh kerana itu kita ketawa iaitu emosi yang muncul dahulu diikuti dengan reaksi fisiologi tetapi teori ini menyatakan sebaliknya iaitu kita ketawa oleh kerana itu kita rasa gembira. Walaupun teori ini menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak tetapi ia memainkan peranan yang sangat penting dan telah mempengaruhi kajian dalam bidang emosi berabad lamanya. Sehingga ke hari ini perbincangan mengenai teori ini masih berlaku lagi.



Stimulasi:
Anjing menyalak

Emosi: Takut
Reaksi tubuh: Hati berdebar



Teori Cannon-Bard
Di antara individu yang banyak mengkritik teori James-Lange ialah ahli psikologi Amerika Syarikat bernama Walter Cannon (1927). Menurut Cannon, individu memiliki kebolehan yang terbatas untuk menyedari kebanyakan dari perubahan-perubahan fisiologi yang didorong oleh sympathetic Nervous System. Bagaimanakah perubahan-perubahan fisiologi ini menjadi asas kepada pengalaman emosi kita sedangkan kita sendiri tidak menyedari perubahan-perubahan tersebut? Seterusnya, Cannon juga meyedari bahawa dalam teori James-Lange pelbagai emosi dikaitkan dengan pola kebangkitan fisiologi yang sama. Bagaimanakah emosi manusia yang berbagai itu dibangkitkan oleh pola kebangkitan yang sama? Cannon juga mendapati bahawa perubahan fisiologi yang bergantung kepada rembesan atau pengeluaran hormon oleh kelenjar andranelin adalah terlalu lambat untuk menjadi asas kepada semua emosi. Bagaimanakah proses yang mengambil masa beberapa saat menjadi punca kepada pengalaman emosi yang berlaku serta merta?
Memandangkan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam teori James-Lange, Cannon bersama-sama rakan sekerjanya Phillip Bard telah memperkenalkan satu teori emosi baru sebagai alternatif. Teori baru ini dipanggil teori Cannon-Bard ( Cannon, 1929). Melalui teori ini mereka mencadangkan bahawa rangsangan-rangsangan dalaman atau luaran akan mendorong desakan-desakan sensori yang kemudiannya akan dihantar ke bahagian kortek otak. Kortek merupakan bahagian otak di mana kebanyakan pemprosesan maklumat berlaku. Korteks akan menghantar desakan-desakan sensori tadi ke bahagian thalamus. Dari thalamus, desakan-desakan sensori tadi akan dihantar secara selari ke bahagian tangkai otak (brain stem) yang akan menghasilkan tindak balas fisiologi dan kortek yang menghasilkan pengalaman emosi. Bagi Cannon dan Bard pengalaman emosi dan kebangkitan fisiologi berlaku serentak atau selari dan tidak bergantung antara satu sama lain.
Kajian yang dilakukan terhadap pesakit-pesakit yang cedera tulang belakang menyokong teori Cannon-Bard ini. Satu kajian menunjukkan bahawa para pesakit yang cedera tulang belakang tetap mengalami keadaan emosi yang mendalam walaupun mereka tidak mampu merasakan apa-apa di bahagian tubuh mereka (Chwalisz, Diener, & Gallagher, 1988). Dapatan kajian ini menyokong andaian teori Cannon-Bard bahawa pengalaman emosi bergantung kepada persepsi otak manusia terhadap peristiwa yang sedang berlaku.

Stimulasi:
Anjing menyalak
Aktiviti otak subkortikal

Emosi: Takut
Reaksi tubuh: Hati berdebar


Teori Psikobiologikal
Pada tahun 1982 Jack Panksepp telah membina satu teori emosi yang berasaskan kepada pendekatan psikobiologikal. Teori ini mengandaikan bahawa emosi asas manusia mempunyai kaitan dengan litar saraf di bahagian otak. Panksepp mendakwa bahawa manusia memiliki empat emosi asas iaitu takut, keberangan, panik, dan pengharapan. Setiap satu emosi asas tadi mempunyai kaitan dengan satu sistem arahan yang terdapat pada otak. Seterusnya keempat-empat sistem tadi akan berinteraksi untuk menghasilkan emosi-emosi yang lain. Panskepp turut juga mendakwa bahawa bahan-bahan kimia saraf (neurochemicals) mungkin mempunyai kaitan dengan pelbagai sistem arahan emosi. Sebagai contohnya, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa neurotransmitter dopamine mempunyai kaitan dengan sistem pengharapan emosi, sementara acetylcholine menjadi perantara tingkah laku dalam sistem keberangan.
Teori ini turut menjadi bahan kritikan pengkaji yang lain. Sebagai contohnya, ada yang mempertikaikan mengenai asas kepada lokasi khusus litar emosi. John Averill (1960) pula menyatakan bahawa litar saraf yang ‘berdawai keras’ (hard-wired) tidak cukup fleksibel untuk bertindak sebagai asas kepada emosi. Walau bagaimanapun teori ini telah berjaya meningkatkan minat para penyelidik terhadap peranan faktor neurologikal dalam membentuk emosi manusia. Ini seterusnya membawa kepada peningkatan aktiviti penyelidikan dalam bidang ini.


TEORI PAPEZ-MACLEAN

Pada tahun 1937, Papez mengeluarkan satu data sintesis mengenai kaitan sistem limbik kepada sifat emosi. Papez menyatakan bahawa terdapat satu kitaran yang sedia ada yang wujud dalam sistem limbik yang menunjukkan penghantaran impuls semasa ekspresi emosi. Kitaran ini dinamakan Kitaran Papez (Papez’s circuit).
Mula-mulanya, maklumat dari reseptor sensori ke bahagian penerimaan di bahagian bawah thalamus atau lebih tepat subthalamus. Dari subthalamus, maklumat itu terus dihantar ke hipothalamus dan kemudiannya ke mammillary body yang terletak di bahagian posterior hipothalamus. . Dari mammillary body, kitaran diteruskan ke bahagian anterior thalamus, menuju ke bahagian atas, iaitu ke cingulate gyrus. Akhirnya, kitaran ini kembali semula ke hipothalamus melalui hipokampus.
Bukan itu sahaja, beberapa kitaran yang berlainan telah dijumpai pada tahun 1938 oleh MacLean (1949). MacLean telah menggunakan Kitaran Papez sebagai sumber rujukan dan menunjukkan perkembangan yang kepentingan dalam Kitaran Papez yang asli itu. Satu perubahan yang dilakukan oleh MacLean ke atas Kitaran Papez ialah fungsi bahagian-bahagian dalam sistem limbik. Peranan yang dimainkan oleh cingulate gyrus telah berpindah kepada bahagian dalaman di hipothalamus, iaitu septum dan amygdala.
Menurut MacLean pada tahun 1968, fungsi septum melambangkan kebolehan satu-satu haiwan untuk menjamin generasi spesiesnya sendiri. Bagi amygdala pula, ia mempunyai fungsi yang berlainan daripada septum. Amygdala memberi simulasi kepada aktiviti seperti bergaduh (fighting), menyuap (feeding) dan tindakan lain yang biasanya berkaitan dengan perlindungan diri.
MacLean juga mengatakan bahawa septum dan amygdala juga berhubungan dengan olfactory apparatus dalam bahagian otak. Rasa hidu yang memainkan peranan yang penting dalam tindakan asas emosi. Oleh itu, tidak hairanlah terdapat perhubungan antara kedua-dua kitaran. Bukan itu sahaja, MacLean dan rakan-rakannya juga menjumpai kitaran yang ketiga ke dalam hipothalamus, iaitu dari hipokampus dan medial thalamus.
Teori-teori Emosi Menekankan Kognitif
Teori-teori emosi terkini lebih menekankan kepentingan kognitif atau pemikiran. Kebanyakkan teori ini mengandaikan bahawa pengalaman emosi yang kita alami bergantung kepada interpretasi kita yang subjektif terhadap situasi di mana kita berada. Salah satu teori emosi-kognitif utama menekankan kepada peranan pelabelan kognitif dalam menentukan emosi apa yang sedang dialami. Dari idea mengenai pelabelan kognitif ini terbit pula hipotesis bahawa manusia sering tersilap dalam menentukan punca sebenar emosi mereka. Satu lagi teori terbitan yang akan dibincangkan memperlihatkan bagaimana keseronokan dari sesuatu sumber boleh dialihkan kepada yang lain.


Teori Pelabelan Kognitif Schachter

Teori ini dianggap sebagai teori kognitif yang paling berpengaruh sekali. Stanley Schachter (1962) iaitu pengasas teori ini melihat pengalaman emosi manusia sebagai berpunca dari dua faktor utama iaitu: kebangkitan fisiologi dan tanggapan kita mengenai punca kebangkitan fisiologi tersebut. Menurut Schachter lagi, apabila manusia mengalami sesuatu kebangkitan fisiologi mereka akan mencari puncanya.. Tanggapan atau interpretasi manusia terhadap punca kebangkitan fisiologi tadi menentukan apakah emosi yang sedang mereka alami. Sebagai contohnya, sekiranya kita mengalami kebangkitan fisiologi seperti jantung yang berdengup kencang kerana kehadiran personaliti yang menawan hati, kita mungkin menanggap kebangkitan fisiologi itu berpunca dari personaliti tadi dan akhirnya merasakan bahawa kita sedang mengalami emosi cinta dengan personaliti tadi. Namun begitu, andaikan kita alami kesan fisiologi yang sama iaitu jantung kita berdengup kencang tetapi kali ini kita berada dalam sebuah bank yang sedang dirompak, kita mungkin melabel atau menginterpretasikan kebangkitan fisiologi kita itu sebagai perasaan takut. Sekiranya tiada penjelasan yang pasti mengenai kebangkitan fisiologi yang kita alami, kita tetap akan mencari penjelasan yang boleh diterima pakai untuk menwujudkan lebel emosi yang sesuai. Kita tidak akan mengalami sebarang pengalaman emosi sekiranya tidak terdapat kebangkitan fisiologi. Oleh itu kedua-dua fisiologi dan kognisi adalah diperlukan untuk mengalami sesuatu emosi.
Teori Pelabelan kognitif telah dikritik hebat dari beberapa sudut. Pertamanya, andaian teori ini bahawa manusia akan mengalami kebangkitan fisiologi yang serupa tidak kira emosi apa yang dialami, didapati tidak benar. Kajian terkini menunjukkan bahawa kebangkitan fisiologi seperti degupan jantung yang kuat dan kencang adalah lebih berkemungkinan untuk dilabel atau diinterpretasikan sebagai emosi yang negatif dari yang positif. Keduanya, bukan faktor situasi sahaja yang akan mempengaruhi tanggapan individu megenai emosi yang dialaminya tetapi faktor pengalaman dan ingatan turut memainkan peranan. Akhirnya, andaian oleh Schachter bahawa semua emosi melibatkan proses neurochemical yang sama didapati tidak tepat.
Walaupun dikritik dengan hebat, teori Pelabelan Kognitif Schachter ini tetap memberikan impak yang besar kepada kefahaman emosi manusia. Teori oleh Schachter ini telah merangsang minat terhadap penyelidikan emosi dan sekaligus meningkatkan jumlah penyelidikan dalam bidang emosi. Teori ini juga telah menjadi asas kepada beberapa teori emosi lain. Salah satu teori tersebut ialah teori Misatribusi.

Teori Misatribusi

Misatribusi bermaksud kesilapan dalam menentukan sumber kebangkitan emosi. Teori Pelabelan Schachter dengan jelas menyatakan bahawa pengalaman emosi yang dialami oleh individu adalah berpunca dari proses menanggap atau melabel. Dari idea ini terhasil pula idea bahawa terdapat kemungkinan individu mungkin misatribut kebangkitan emosi yang sedang dialaminya dari sumber emosional seperti takut kepada sumber tidak emosional seperti dadah.
Terdapat beberapa orang penyelidik telah cuba menguji kemungkinan tersebut. Para penyelidik terbabit juga cuba memastikan kegunaannya dalam membantu manusia menangani masalah emosi seperti kebimbangan melampau.. Dalam satu penyelidikan awal, semua responden telah diberikan pil plasebo yang tidak mendatangkan sebarang kesan fisiologi. Semua responden terbabit telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama telah diberitahu bahawa pil yang mereka ambil akan membangkitkan simptom fisiologi (dengup jantung bertambah kencang dan sebagainya). Kumpulan kedua pula telah diberitahu bahawa pil yang telah diambil akan menghasilkan simptom tidak berkaitan dengan rasa kebangkitan seperti rasa kebas di kaki. Sesudah itu semua responden telah dikenakan dengan satu siri kejutan eletrik yang ditingkatkan secara beransur-ansur hingga menimbulkan kesakitan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kumpulan pertama iaitu kumpulan kebangkitan lebih tahan menanggung kesakitan berbanding kumpulan bukan kebangkitan. Mengapakah kumpulan kebangkitan lebih bersabar menanggung kesakitan? Puncanya ialah kerana mereka misatribut sebahagian daripada kebangkitan akibat kesakitan kepada pil.
Kajian lain pula menunjukkan bahawa responden tinggi dalam ujian kebimbangan merasa kurang takut dalam situasi ujian di mana mereka mistribut kebangkitan kepada plasebo. Di samping itu, kajian juga mendapati tindak balas fisiologi terhadap rangsangan yang menakutkan berkurangan apabila responden atribut kebangkitan kepada sumber bukan emosi. Selain itu, saksi-saksi kepada sesuatu kejadian jenayah yang mengalami rasa takut boleh misatribut kebangkitan dialami menyebabkan mereka mencipta ingatan yang tidak tepat mengenai kejadian jenayah tersebut. Terdapat juga atribusi biasa yang berlaku dalam sesuatu keadaan. Sebagai contoh, sindrom prahaid, di mana wanita mengalami perasaan bengkeng, marah dan kesedihan seminggu sebelum kedatangan haid. Walaupun wanita sering tidak dapat mengawal emosi-emosi negatif mereka, kita sering mistribut kelakuan mereka kepada sindrom prahaid tersebut dan melabel wanita tanpa sindrom ini sebagai mempunyai sindrom tersebut.
Dalam keadaan kehidupan sebenar misatribusi boleh membawa kepada konflik dan kekejaman. Satu kejadian menunjukkan bahawa pelajar-pelajar Yahudi-Israel melakukan misatribusi mengenai niat kedua-dua pihak dalam konflik Arab-Israel yang dengan mudah boleh menyumbang kepada konflik di masa hadapan. Dalam kajian lain pula, para pelajar agresif dan tidak agresif berbangsa Latin dan berkulit hitam di beberapa buah sekolah menengah rendah di Amerika telah dibacakan dengan beberapa senario negatif seperti dalam perjalanan sekolah seorang rakan sekolah telah terlanggar mereka dengan agak kuat. Kemudian para pelajar tersebut diminta membuat pertimbangan mengenai niat rakan mereka, perasaan marah yang mereka alami dan kemungkinan mereka akan bertindak agresif. Dapatan kajian menunjukan bahawa responden yang berada dalam kumpulan agresif adalah lebih berkemungkinan menanggap tindakan rakan mereka itu sebagai sesuatu yang disengajakan dan akan bertindak balas secara negatif. Oleh itu, misatribusi mengenai niat rakan boleh membawa kepada keganasan.

Satu lagi tokokan dari teori misatribusi ialah hipotesis oleh Dolf Zillman (1978), bahawa kebangkitan dari satu sumber boleh mempengaruhi sesuatu reaksi dan kognisi yang sepatutnya tidak terjadi. Satu kajian telah dijalankan di British Columbia untuk menggambarkan hipotesis ini. Seorang penyelidik telah meminta beberapa orang lelaki yang baru sahaja menyeberangi sebuah jambatan kayu dengan ketinggian 3 meter atau sebuah jambatan gantung yang merentasi sebuah jurang dalam menjawab satu soal selidik. Apabila penyelidik tersebut adalah seorang wanita, lelaki yang baru menyeberangi jambatan bahaya itu lebih banyak membuat imaginasi seksual dalam bahagian soal selidik berkiatan dengan tajuk tersebut dan lebih berkemungkinan menelefon peyelidik wanita tersebut untuk membuat pertemuan selanjutnya.

Zillman menerangkan bahawa perkara tersebut terjadi kerana pemindahan keterujaan (transfer of excitation) berlaku. Kebangkitan yang dijana oleh penyeberangan jambatan gantung itu dipindahkan kepada interaksi dengan penyelidik wanita untuk meningkatkan kebangkitan seksual. Apabila penyelidik wanita yang sama mendekati lelaki tersebut lama sesudah lelaki tersebut menyeberangi jambatan gantung, tidak ada sebarang perbezaan dalam imaginasi seksual. Ini menunjukan bahawa kesan kebangkitan di jambatan adalah disebabkan oleh pemindahan keterujaan.
Dalam kajian lain, Zillman dan sekerjanya telah meminta para responden dalam penyelidikan mereka menunggang basikal hingga bernafas termengah-mengah dan jantung mereka berdengup kencang. Kemudian para responden tersebut telah dicaci oleh rakan penyelidik yang lain. Responden yang baru sahaja menunggang basikal didapati bertindak lebih agresif terhadap pencaci tersebut berbanding responden yang tidak terlibat dengan aktiviti yang merangsang kebangkitan fisiologi. Ini menunjukkan bahawa kebangkitan yang terhasil akibat menunggang basikal telah dipindahkan kepada situasi melibatkan cacian hingga merangsang perasaan marah. Beberapa kajian lain telah mengesahkan dapatan kajian Zillman ini. Pengajarannya, apabila anda perlu membuat seseorang rasa marah lakukannya apabila dia sedang tenang.
Teori-teori Nilaian Kognitif (Cognitive Appraisal Theories)
Terdapat teori-teori yang memberikan lebih penekanan kepada aspek kognitif berbanding teori Schachter. Pendekatan ini menumpukan kepada peranan aspek-aspek kognitif seperti pemikiran, pembelajaran, ingatan dan persepsi dalam pengalaman emosi. Salah satu teori tersebut ialah teori oleh Richard Lazarus.
Bayangkan anda berada dalam satu keadaan di mana anda dikritik dengan teruk oleh penyelia kerana anda melakukan sesuatu kesilapan di tempat kerja yang akan menyusahkan perkerja yang lain. Apakah emosi yang akan dicetuskan oleh situasi ini? Teori-teori nilaian kognitif akan mengandaikan bahawa jawapan kepada persoalan tersebut bergantung kepada bagaimana anda menilai atau menginterpretasi keadaan tersebut. Anda akan merasa marah kiranya anda merasakan kritikan terhadap diri anda adalah tidak adil kerana ada orang lain yang terlibat. Anda mungkin merasa malu kerana kritikan tersebut menggambarkan ketidakcekapan anda. Anda mungkin merasa sedih atau bersalah memikirkan kesan negatif kegagalan anda kepada rakan sekerja. Akhirnya, anda mungkin merasa emosi positif kiranya merasakan bahawa anda telah menjalankan tugas dengan cemerlang, kesilapan yang terjadi bukan tanggungjawab anda.
Pandangan bahawa manusia bertindak balas dengan emosi yang berbeza walaupun dalam situasi yang sama bergantung kepada bagaimana mereka menilai atau menginterpretasi situasi merupakan andaian asas atau utama dalam teori-teori nilaian kognitif. Penilaian anda terhadap situasi dan bukannya situasi itu yang menentukan kualiti dan intensiti tindak balas emosi. Teori-teori nilaian kognitif mengandaikan bahawa emosi yang terhasil dalam sesuatu keadaan adalah ditentukan oleh bagaimana situasi itu dinilai.
Menurut Lazarus (1993), setiap emosi mempunyai tiga komponen utama: nilaian kognitif, desakan tindakan dan pola reaksi badan. Nilaian kognitif terdiri daripada tindakan mentaksir rangsangan penting yang berkaitan dengan kesejahteraan seseorang. Peringkat pertama ini dinamakan penilaian asas. Sesudah itu, barulah penilaian mengenai strategi-strategi menangani stress yang muncul akibat situasi emosi tersebut. Penilaian asas merupakan penilaian kognitif mengenai antecedents emosi, bukannya penilaian mengenai isi kandungan emosi. Sebagai contoh, individu yang berhadapan dengan perompak berpistol akan menilai perompak dan pistol bukannya menilai perasaan takut yang dialaminya ketika itu.
Desakan tindakan melibatkan aktiviti memikirkan mengenai tindakan yang boleh diambil. Sebagai contoh, apabila berhadapan dengan perompak anda mungkin memikirkan untuk merampas pistol di tangannya, menjerit meminta pertolongan atau lari. Pola reaksi-reaksi badan pula merupakan tindak balas fisiologi yang merupakan sebahagian daripada pengalaman emosi. Beberapa kajian telah menyokong teori Lazarus dan kajian-kajian tersebut juga mendapati terdapat persamaan budaya dalam dimensi penilaian emosi. Lazarus juga berpendapat bahawa apabila seseorang mengalami kebangkitan emosi, beliau juga akan terlibat dalam proses menangani dan mengurangkan stress. Dua cara individu menangani stress menurut Lazarus ialah palaniasi (palliation) dan tindakan terus. Palaniasi merupakan satu proses bertahan di mana kita mengubah reaksi kita terhadap peristiwa beremosional. Individu tersebut mungkin tidak mempedulikan kejadian yang berlaku dan berharap ianya akan pergi begitu sahaja. Individu tersebut mungkin juga cuba mengubah reaksi fisiologi dengan bersenam, meditasi dan mengambil ubat-ubatan. Alternatif lain ialah dengan mengambil tindakan terus. Sebagai contoh, jika peperiksaan yang akan dihadapi merungsingkan individu, beliau mungkin mengambil tindakan terus dengan belajar lebih tekun.

Teori Psikoanalitik: Peranan minda bawah sedar dalam emosi.
Dalam teori psikoanalitinya, Sigmund Freud menyatakan bahawa kebanyakan pengalaman emosi adalah disebabkan oleh proses-proses bawah sedar. Minda bawah sedar menurut teori psokoanalitik ialah satu daerah personaliti yang mengandungi emosi, motif dan ingatan mengenai pengalaman lalu yang tidak disedari namun amat berpengaruh dalam tingkah laku. Sebagai contoh, kebanyakan pengalaman zaman kanak-kanak adalah di bawah sedar. Sebagai orang dewasa, kita mungkin tidak menyedari atau ingat tentang pengalaman zaman kanak-kanak kita, tetapi ia tetap merupakan sumber utama emosi dan motivasi. Ia boleh menyebabkan kita mengalami sesuatu emosi tanpa menyedari dari mana ia datang.
Teori psikoanalitik lebih memberikan focus kepada emosi negatif, terutamanya kebimbangan dan marah. Kedua-dua emosi tersebut dikatakan berpunca daripada konflik yang berlaku pada tahap bawah sedar. Emosi negatif yang dialami berpunca dari konflik bawah sedar akan dialami secara sedar dalam bentuk gangguan dan ketidakselasaan. Sebagai contoh, kita tidak mengahadapi sebarang peperiksaan, tiada masalah di tempat kerja dan tiada masalah hubungan dengan orang lain, tetapi kita tetap juga merasa bimbang. Teori Psikoanalitik akan menyatakan bahawa kebimbangan kita itu adalah berpunca dari konflik bawah sedar.