Site Info


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Ahad, 21 Jun 2009

AIR MATA ABAH


Assalamualaikum…


Telah lama tidak melakar tinta di sini, Alhamdulillah kini berada di kampung yang cukup tenang dan nyaman, setiap hari menyambut detik kebahagiaan bersama usrah tersayang, kini ana sedang mengajar sebagai guru KAFA di Sekolah Kebangsaan Belimbing. Alhamdulillah tidaklah dirasakan kosongnya masa yang berlalu, mungkin ramai sahabat yang mencari peluang menelusuri pelbagai bidang sebelum termaktubnya sebagai graduan. Semoga kita semua dapat memanfaatkan waktu dengan perkara-perkara yang sebaiknya.


Hampir beberapa hari sahaja kita akan menyambut Hari Bapa, dan dikesempatan ini juga ana mengucapkan SELAMAT HARI BAPA kepada insan yang sudah bergelar bapa. Masih ingat sewaktu ana dan adik-beradik yang lain menyambut hari bapa, abah tercinta semasa hayatnya, dan kini walaupun telah setahun lebih pemergiannya namun kenangan ketika menyambut hari bapa bersamanya masih melekat diingatan. Abah seorang yang penyayang dan peramah orangnya, apabila berkumpul kami adik-beradik akan berkongsi pelbagai cerita yang dirasakan menarik dan macam-macam tajuk yang akan dibualkan, dan abahlah orang pertama yang akan membuka tirai kepada plot penceritaan.


Itu semua telah berlalu, perkara yang paling sedih tentang abah ialah ana tidak dapat melihat pemergiaannya untuk kali terakhir, saat itu adalah kesedihan yang teramat sangat, tamparan yang cukup kuat ana rasakan. Tidak menduga pemergiannya secepat itu, namun siapa yang dapat mengetahui bila dan dimana kematiannya. Hanya yang mencipta yang lebih mengetahui. Cuba untuk kuatkan semangat, namun bayangannya terlalu kuat memegang memori lalu. Raut wajahnya yang penuh ketenangan, kasih sayang yang dicurahkan membuatkan ana terlalu mengingatinya, namun apakan daya Allah lebih menyayanginya.

BERSAMAMU

Mungkin sahabat pernah menonton rancangan “bersamamu” yang disiarkan tv3 setiap hari rabu, begitu juga dengan abah ana, akan terpaku di depan televisyen menonton rancangan tersebut. Apa yang terjadi?? Dalam diam2 manik suci mula membasahi lembaran, namun ana buat2 tak tahu, sesekali tangan gagahnya menyapu untaian air yang melekat, tidak menghiraukan sesiapa yang berada dekat dengannya. Itulah abah yang mudah tersentuh.

Sifatnya yang lembut itu menyebabkan ana tidak dapat menggambarkan kesedihan disaat diri punyai masalah, kerna abah akan menjadi pendengar setia bagi setiap masalah yang dihadapi, teringat sewaktu di bangku sekolah banyak kata-kata nasihat yang diberikan, abah juga akan cuba menenangkan dan cuba menceriakan suasana, saat memikir peristiwa itu air mata yang sentiasa menemani. Begitulah pengorbanan seorang ayah sanggup melayan celoteh anak-anak, biarpun dirasakan itu hanyalah perkara yang remeh yang tidak perlu diperhatikan. Namun, bagi abah anak-anak adalah saham akhiratnya, bergitulah istimewanya abah..

ANAK YANG TABAH MENJAGA IBU BAPANYA


Di sini juga ana ingin berkongsi sebuah cerita seorang anak yang begitu tabah dan penuh kesabaran dalam menjaga ibu bapanya. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah. Setiap kali hendak bermunajat Nabi Musa akan naik ke bukit Tursina. Di atas bukit itulah Nabi Musa akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga.


Suatu Hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. “Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?”


Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan Nabi Musa turun dari bukit Tursina dan mencari orang tersebut. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk beliau berjaya bertemu dengan orang itu. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk diruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa, dia terus masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Setelah itu keluar dengan membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilapkan sampai kering serta dipeluk cium kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan, kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta dicium dengan penuh kasih sayang.

Selesai kerjanya itu barulah dia melayan Nabi Musa
“Wahai saudara! Apa agama kamu?”
“Aku agama Tauhid,” jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
“Habis mengapa kamu memelihara babi?” Kita tidak boleh berbuat begitu.” Kata Nabi Musa.
“Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai seorang anak.” Sambungnya.


Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi”. Tambah pemuda itu.
Maka ketika itu juga Allah turunkan wahyu kepada Nabi Musa. “Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibubapanya. Ibu dan ayahnya sudah buruk dengan rupa babi pun dia masih berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan martabatnya sebagai anak soleh di sisi kami”.

Begitulah keikhlasan seorang anak dalam berbakti kepada kedua ibubapa tanpa penat jemu walaupun keadaan ibubapanya dalam keadaan tidak normal lagi, diharap kita dapat mencari titik sinar melalui kisah di atas untuk ibubapa, semoga cerita ini memberi mauizah hasanah dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah yang sentiasa mendambakan maghfirah dan kerahmatannya. Sama2 kita renung2kan..

DOA


Ya Allah ampunkanlah segala dosa kedua-dua ibu bapa kami, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami kecil.


Kami memohon sepenuh keikhlasan hati kami Ya Allah. Rahmatilah mereka, ampunilah dosa-dosa mereka, sekiranya ketika ini Engkau seksa mereka di dalam kubur Ya Allah, kami memohon agar Engkau hentikan azabnya, biarpun kami tahu Ya Allah mereka terlalu lemah dan tidak mungkin menahan seksaanMU yang amat pedih itu Ya Allah.


Maha Suci Allah Yang Maha Besar, Engkau jadikanlah kami anak-anak daripada orang2 yang soleh yang mendoakan keampunan ibubapa kami, jadikanlah mereka sebagai anak kunci bagi membuka pintu syurgaMu Ya Allah, dan janganlah Engkau jadikan mereka anak kunci ke nerakaMU. Teguhkanlah iman mereka Ya Allah jaukanlah mereka daripada seksaanMU Ya Allah. Tuhan sekelian Alam.

Perkenankanlah doa kami ini dan jadikanlah doa ini merupakan doa anak yang soleh yang Engkau janjikan akan diperkenankan.


SATU UCAPAN

Bagi sahabat yang masih mempunyai ayah, jangan lupa untuk meluangkan masa bersama adik-beradik untuk menyambut Hari Bapa, semoga hari tersebut menjadi kenangan yang terindah sahabat bersama insan yang bergelar ayah. Jangan dilupa segala jasa, keringat yang menghiasi tubuh mencari bekalan untuk kita, sehingga adanya kita sekarang menjadi seorang yang Berjaya. Rasanya tidak terlalu MAHAL untuk mengukir satu ucapan SELAMAT HARI BAPA jika dibandingkan dengan titik peluhnya basah kering demi membesarkan kita, namun beliau tidak pernah mengadu letih, tidak pernah mengadu sakit. Lauk yang dimulut sanggup diluahkan semata-mata untuk diberikan kepada kita, harta yang dikumpul sanggup dilaburkan untuk pendidikan. Semua itu adalah melihat kebahagiaan dan keselesaan kita, jadi abadikan bulan ini bersama insan tersayang menggamit kenangan paling indah sahabat bersama ayah, ayah, ayah..insyallah.


“SELAMAT HARI BAPA”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan